Kasih (1 Korintus 13)

Hello!!!

Wah!!!

Saya baru tersedar ini merupakan post saya yang pertama dalam tahun 2012. Bukan kerana saya berhenti mengadakan bersama persekutuan dalam Yesus tetapi kadang kala tugasan saya sebagai seorang pelajar mengehadkan masa saya untuk mengongsikan perjalanan hidup saya bersama Yesus. Begitu juga dengan blog saya yang lain. Tetapi saya gembira dengan perubahan yang terjadi dalam diri saya sehingga kini. Walaupun masih terdapat penyesalan yang masih melekat dalam hati saya ini, saya percaya bahawa semua itu sedikit demi sedikit akan hilang.

Hari ini merupakan hari ahad dan seperti biasa saya akan menguruskan pelayanan hospitaliti bersama beberapa rakan-rakan yang lain. Saya mengucap syukur dengan komitmen yang mereka berikan selama ini amat membantu saya untuk menjayakan pelayanan ini untuk Tuhan.

Hari ini juga saya berjumpa dengan seorang teman yang bakal menjadi seorang pastor. Teman ini merupakan bekas pelajar universiti dimana saya belajar dan juga salah seorang daripada senior saya. Jujur saya katakan, saya tidak menyukai perwatakannya kerana apa saja yang keluar dari mulut dia sewaktu berkata-kata dengan saya amat menyakitkan hati.  Tetapi, saya hanya berdiam diri sahaja dan tidak membalas apa yang dia katakan kepada saya. Saya hairan, sejak dari dulu sikapnya tidak pernah berubah. Dia hanya akan "tiba-tiba" berubah menjadi baik dihadapan orang-orang yang tertentu. Saya tidak menyukai dia dan saya mencuba sehabis baik untuk menjauhkan diri daripada dia. Saya tahu tindakan saya ini salah, tetapi saya harap Tuhan akan menegur dia untuk mengubah sikapnya. Begitu juga dengan saya agar saya akan dapat mengasihi dia seperti mana Yesus juga mengasihi dia.

Saya mesti mempraktikkan kasih saya terhadap orang tanpa mengira siapapun dan apapun yang mereka telah lakukan. Saya mesti mengasihi mereka yang menyakitkan hati saya sepertimana Yesus mengasihi saya dengan perbuatan dosa yang telah saya lakukan. 

Saya mahu akhiri post saya ini dengan mengongsikan petikan firman Tuhan yang saya petik dari 1 Korintus 13:4-5 yang berbunyi,

"Kasih itu sabar;kasih itu murah hati;ia tidak cemburu. Ia tidak memegahkan diri dan tidak sombong. Ia tidak melakukan yang tidak sopan dan tidak mencari keuntungan diri sendiri. Ia tidak pemarah dan tidak menyimpan kesalahan orang lain"


Comments

Popular Posts