Rasa ingin lari??? Larilah kepada Yesus!!!
....Indahnya bersama Tuhan....
Saya baru sahaja selesai habis membaca sebuah buku yang bertajuk “Apabila Anda Ingin Melarikan Diri..Mazmur 55”. Saya mendapati isi kandungan buku ini sangat berguna bagi saya secara peribadi berikutan beberapa perkara yang saya alami tidak lama dahulu. Jika kita melihat kepada tajuk sahaja mungkin kita semua sudah dapat meneka isi kandungan buku ini. Saya sangat tertarik dengan cara penulis mengolah cerita Raja Daud dan mengaitkannya dalam kehidupan seharian. Hal ini membuatkan saya rasa terpanggil untuk bersaksi tentang diri saya, dan saya mengharapkan agar kesaksian saya dapat memberkati anda yang membacanya.
.....PENGENALAN.....
Kehidupan kita di dalam dunia moden ini sememangnya amat mencabar dan tidak hairan ada dalam kalangan kita yang terus hanyut dengan arus yang mengalir deras ini. Zaman ini menawarkan satu cara kehidupan yang sangat menarik dan jika kita tidak bijak memilih jalan, maka kita akan tersesat buat selamanya. Saya secara peribadi masih bergumul dalam diri saya untuk menanggalkan semua sifat duniawi yang ada dalam diri saya kerana saya tahu itu tidak akan memberikan saya kehidupan yang kekal dalam Kristus. Kita mungkin sahaja merasa seronok dengan segala macam kemudahan yang ada pada zaman ini. Pemikiran manusia juga mulai berubah, sesetengah daripada kita mulai mementingkan keperluan diri sendiri dan mengabaikan orang-orang di sekeliling mereka yang lebih memerlukan. Kita lupa akan perintah Tuhan yang paling utama iaitu untuk saling mengasihi Tuhan dan sesama manusia. Saya juga tergolong dalam golongan ini dan saya tidak tahu bagaimana saya boleh melepaskan diri daripada semua ini. Namun, pelepasan boleh diperoleh daripada Yesus Kristus, Tuhan kita. Saya dilepaskan saat saya benar-benar meminta pelepasan itu melalui Kristus.
Namun ada kisah disebalik pelepasan yang dikurniakan kepada saya ini. Kisah ini bermula apabila saya merasakan tidak ada lagi insan yang boleh saya percayai dalam dunia ini. Saya hanya menemukan insan yang mengelar diri mereka itu Kristian namun kehidupan mereka tidak menggambarkan seorang kristian. Saya keliru dan fikiran saya bercelaru memikirkan semua permasalahan ini seorang diri. Saya memerlukan teman namun saya tidak dapat mempercayai mereka lagi. Saya mencari wajah Yesus namun seperti ada sesuatu yang menutup mata saya sehingga saya tidak dapat menemukan-Nya. Saya pernah terfikir untuk melarikan diri dengan cara membunuh diri. Pemikiran saya sangat singkat dan saya sangat marah kepada semua orang saat itu.
Keinginan saya untuk melarikan diri sangat meluap-luap waktu itu. Saya tidak peduli apa rintangan yang akan saya hadapi saat saya melarikan diri. Namun dalam hati saya, saya tegas dengan keputusan saya, iaitu melarikan diri!.
....MELARIKAN DIRI....
Saya merenung kembali permasalahan yang saya hadapi yang membuatkan saya merasa ingin melarikan diri. Saya aktif dalam pelayanan terutamanya dalam pelayanan pujian dan penyembahan. Saya bermain muzik dan saya rasa terbeban kerana hampir setiap minggu saya akan bermain muzik. Pada masa yang sama, saya juga menjadi ketua untuk menguruskan jamuan setiap kali selesai ibadah. Persiapan untuk semua ini memerlukan saya menggunakan sehari dan saya juga masih seorang pelajar yang mempunyai kerja-kerja yang harus disiapkan. Saya tidak tahu mengapa perasaan untuk melarikan diri dari semua sangat kuat sedangkan saya sangat membutuhkan semua pelayanan ini, sebagai pekerjaan saya dihadapan Tuhan untuk memuliakan Dia.
Saya mulai jatuh,saya dapat merasakan iman saya semakin menurun dan saya langsung tidak peduli. Perkara utama yang saya inginkan ialah untuk melarikan diri dan saya telah lakukannya. Saya sering mengelak apabila dipanggil untuk melayani dan saya ponteng ke gereja. Saya dapat merasakan penjagaan Tuhan dalam kehidupan saya namun saya langsung tidak memandang Dia saat Dia memimpin tangan saya. Seakan-akan saya merajuk dengan Tuhan. Hal ini lucu, tetapi saya tahu Tuhan memahami perasaan saya. Saat saya menaip kesaksian ini, hati saya sebak kerana perbuatan saya kepada Yesus. Saya menghiraukan panggilan-Nya, saya membuat keputusan tanpa bertanya kepada-Nya dan paling teruk ialah saya langsung tidak becakap dengan Dia!. Tuhan mengerti, itu sahaj yanag mampu saya katakan sekarang. Saya sedar yang saya memberontak dan saya menunjukkannya melalui perkara-perkara yang saya tidak sedar saya telah lakukannya.
.....KESEMBUHAN-SATU KEAJAIBAN....
Saya tidak sedar bahawa Tuhan dalam diam-diam berusaha melembutkan hati saya yang keras ini, dan dia membentuknya semula. Saya hanya sedar itu semua berlaku saat saya melihat satu arus yang saya tidak tahu akan membawa saya ke mana. Tapi saya dapat merasakan bisikan untuk terjun kedalam arus itu dan mengikut sahaja ke mana arus itu membawa saya. Saya menurut bisikan itu dan sering tertanya-tanya apa yang bakal saya lihat sepanjang perjalanan saya dibawa arus tersebut.
Saya terkejut apabila saya dapat merasakan satu kekosongan yang ada dalam hati saya saat saya ditenggelamkan arus itu. Saya bagaikan tidak percaya bahawa Tuhan akan mengosongkan hati saya dan membiarkan saya memilih sekali lagi jalan yang saya mahu ikut. Hati saya benar-benar kosong saat itu dan saya tidak tahu dengan apa saya harus isi kekosongan itu. Saya haus akan sesuatu, saya lapar akan sesuatu akan tetapi saya tidak tahu apakah “sesuatu” itu. Saya dikeluarkan dari arus itu dan saya berjalan meninggalkannya. Saya berfikir, “ah, mengapa hati ku ini kosong sahaja? Saya perlukan sesuatu untuk mengisinya semula!”.
Saya kembali kepada kehidupan seperti biasa, namun saya tidak sama dengan dahulu, saya punya satu tugas iaitu mencari sesuatu untuk mengisi kekosongan hati saya ini. Saya pergi satu persatu kepada kehidupan duniwi saya,tidak ada sesuatu yang dapat mengisi kekosongan itu malah saya hanya mendapat kekecewaan dan saya memutuskan pengharapan saya terhadap semua benda yang bersifat keduniawiaan.
Pada 22 hingga 23 April 2011, gereja kami menyambut perayaan Paskah dan seperti biasa kami akan diberi pelayanan. Saya hairan, roh saya begitu bersemangat untuk menyambut perayaan ini sehingga saya lebih mementingkan pelayanan saya di gereja daripada memikirkan tentang peperiksaaan saya yang akan berlangsung tidak lama lagi. Saya tidak peduli akan itu semua kerana sedikit demi sedikit saya dapat merasakan kekosongan yang dalam hati saya ini semakin dipenuhi dengan pelayanan yang saya lakukan. Sepanjang perayaan paskah tersebut, saya hanya mampu mengucap syukur dengan apa yang Tuhan sedang lakukan dalam kehidupan saya. Saya mengisi kekosongan ini semula dengan persekutuan saya bersama teman-teman saya. Saya tahu, Tuhan sedang bekerja dan saya membiarkan Dia bekerja dalam hidup saya.
....PENGUCAPAN SYUKUR....
Saya tidak henti-henti mengucap sykur saat itu sehingga sekarang. Namun saya tahu, iblis tidak senang akan semua ini dan berusaha membisikkan kepada saya tuduhan-tuduhan yang boleh menggugat iman saya. Terlebih dalam segala hal saya menyerahkan semua ini dalam Yesus Kristus kerana Dia adalah sumber segalanya bagi saya. Dia yang mengangkat saya yang sampah ini, menjadi anakNya yang sangat dikasihiNya. Terima kasih Tuhan!!!
Kita tidak dapat lari dari semua ini dan kemungkinan besar Bapa akan membawa kita masuk dalam pencobaan ini namun Dia tidak akan pernah melepaskan kita. Dia mahu kita merasakan pimpinanNya dalam kehidupan kita sebagai bukti bahawa Dia hidup!!! Dan Dia sangat mengasihi kita semua.
Tuhan memberkati kita semua. Amen.
Amen bro!! :D you'r not alone, almost everyone goes through the same struggle daily...but we have overcome the enemy 'oleh darah Anak Domba, dan kesaksian kita' :-) Blessings :)
ReplyDelete